Wednesday, July 25, 2012

Memori Terakhir

Masih segar kenangan lebih 10 tahun yang lalu. Dahulu masa sekolah rendah penulis ini memang kaki gaduh. bukan suka mencari gaduh tetapi suka membalas balik kalau orang cari gaduh. tak padan dengan perempuan tapi suka bertekak la, bertepuk tampar la, bertumbuk dan berkarate (huh!) dan sudah tentutalah pencari gaduh itu dlm kalangan budak-budak lelaki yg sebaya dengannya. Dasar lelaki suka cari pasal dengan perempuan. tak tahulah apa istimewanya (-.-) si penulis itu sehinggakan ada sahaja orang yang nak cari pasal. nak kata comel, comel lagi Adibah Nor. 

Yea di antara mereka, ada seorang ni yang amat si penulis geram. Manakan tidaknya, memori satu-satunya manusia yang sanggup masukkan tong petrol dalam beg sekolah si penulis. Nasib baik dia sedar semasa pulang. Apa lagi, gaduh teruk la. siap si ayah penulis yang penyayang ni jumpa si emak budak itu yang kebetulannya tukang masak di kantin sekolah. tersenyum dalam hati si penulis apabila melihat budak itu dimarahi. malah selepas itu, setiap perbuatan budak itu pasti si penulis akan report kepada emaknya yang baik itu ataupun melawan balik dengan tumbukan atau pukulan. Namun tahun berganti tahun, walaupun sering bergaduh, tapi itulah cara mereka semua berkawan sehinggalah habis sekolah rendah. Terlalu biasa adegan kejar-mengejar, tarik2 tudung, pukul memukul yang menjadi rencah dalam kehidupan sebagai pelajar sekolah rendah. adat berkawan kan.

Ayah kata, semenjak dewasa, dia tidak lagi nakal (suka bergurau -.-) seperti dahulu. perwatakannya seiring dengan umurnya. Lebih matang dan menjadi seorang anak lelaki yang baik sebab dia dilihat selalu membantu emaknya berniaga dan juga selalu menegur ayah. Hampir bertahun-tahun lamanya selepas habis sekolah rendah penulis dan dia tidak berjumpa walaupun rumah penulis dan kampungnya hanya berdepan sahaja. Mungkin faktor penulis yang tinggal di asrama dan tidak lagi bersosial dengan rakan sekolah rendahnya yang kebanyakannya penduduk di kampung itu. Entah mengapa si penulis amat takut memikirkan rakan-rakannya ingat si penulis sombong utk bersosial sama mereka. Kenangan terakhir ialah konvoi beraya bersama, ya 8 tahun yang lalu. kemudiannya tiada lagi.

Tahun berganti tahun, tanggal 21hb Julai 2012 bersamaan 1 Ramadhan yang lepas, semasa berbuka puasa bersama keluarga, penulis dikhabarkan oleh ibunya bahawa ada kawan penulis semasa sekolah rendah telah meninggal dunia pada pagi itu. Dada penulis berombak, jantung berdebar. Penulis terus bertanyakan kepada ayah. Ayah mengkhabarkan bahawa, ya sahabatku Mohd Firdaus b Ismail telah pun pergi mengadap Illahi dan dikebumikan lebih kurang pukul 6 lebih petang itu.Innalillahiwainnailaihirojiun. Dari Allah kita datang, dan kepada Allah kita kembali. Tergamam seketika kerana tidak menyangka pemergian yang begitu awal itu. Maut tak mengenal usia, itulah apa yang penulis pelajari. 

Ya arwah la kawan kanak-kanak si penulis. Dialah yang mengajar penulis mengenal apa erti sebuah kehidupan ketika di sekolah rendah dulu. Bagaimana kepuasan mencipta kenangan. Ya dialah satu-satunya orang yang memberi kenangan kepada penulis yang berkaitan dengan tong petrol itu. Kini cerita disebalik tong petrol itu akan dikuburkan dlm hati si penulis sebagai memori dari arwah. Masih ingat lagi adik lelaki penulis yang selalu menitipkan salam dari arwah kepada penulis setiap kali dia berjumpa dengan arwah ketika solat di Masjid. Masih ingat lagi arwah dengan penulis yang sombong ini rupanya. Malangnya tidak pernah pula si penulis menitipkan salam persaudaraan semula dengan arwah. Begitu tegar sekali. Menyesal mengenangkan yang pasti arwah mengingatkan si penulis lupa akan dirinya. Sudahla si penulis ini tidak melawat arwah ketika dikebumikan ataupun melawat keluarga arwah pada hari kematiannya walaupun jarak rumah yang tidak sampai sepuluh minit itu. Ketika terserempak dengan kakak arwah pada keesokan harinya di sebuah masjid di Semerah, masih terbayang lagi muka sugul kakaknya. Kakaknya juga mengatakan yang emak mereka masih dalam keadaan lemah. dan lebih teruk lagi, kakaknya masih ingat yang si penulis ini merupakan kawan arwah. Dan sebagai kawan, mungkin dia pelik mengapa si penulis tidak pernah memunculkan diri. Maaf sahabatku, disebabkan faktor transportation dan kekangan masa si penulis tidak dapat hadir. Malang sekali abang tiada untuk dijadikan peneman atau driver. Ayah pula sibuk bekerja dan si penulis pula masih tidak boleh memandu.

Hampir setiap malam selepas hari kematian arwah, si penulis tidak dapat melelapkan mata. Kenangan lalu terus menghantui diri. Masih teringat lagi penulis akan seraut wajah itu terutama matanya yang redup itu. dan tiap-tiap malam jugalah lagu-lagu seperti Kau Kawan, Sahabat dan Teman serta bait-bait lagu Kawan dari UNIC akan berkumandang menemani tidur si penulis, Rindu kepada teman-teman lama yang sudah menggunung dirasai. Kekesalan diatas sikap sendiri.

Kepada teman-temanku sekalian, hargailah seseorang yang pernah hadir dalam hidup kita lebih-lebih lagi apabila dia masih mengingati kita kerana yang pergi tidak akan kembali lagi.Kepadamu sahabat, aku tidak pernah lupakan kau sebagai kawanku. Segunung Al fatihah disedekahkan buat mu. Mudah-mudahan kau tenang di sana dan semoga dirimu ditempatkan dalam kalangan orang yang beramal soleh. Semoga kekallah kenangan-kenanganku buat selamanya, seumpama mutiara peristiwa yang teruntai. :')


Pelajar kolej kena renjatan

Kuala Lumpur: Seorang pelajar kolej maut, manakala dua lagi cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan di KL Sentral, di sini semalam. 

Kejadian jam 7 pagi itu menyebabkan Mohd Firdaus Ibrahim, 26, mati di lokasi kejadian, manakala dua lagi termasuk seorang penyelia cedera sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kejadian dikatakan berlaku ketika Firdaus yang berasal dari Parit Raja, Johor, bersama rakannya berusia 20-an dari sebuah kolej sedang menjalani latihan industri, mengikut penyelia mereka berusia 40-an ke lokasi untuk proses penyelenggaraan. 
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata mayat mangsa dihantar ke PPUM untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. 


* keratan akhabar dari Berita Harian. Oh ya kesalahan daripada pihak editor bahawa si mati adalah rakanku Mohd. Firdaus Ismail, 20 tahun.

2 comments: